Nenek WNI Didenda RM5,000 kerana Tinggal tanpa Permit Sah di Malaysia

Nenek warga negara Indonesia diiringi polis selepas Mahkamah Majistret Yong Peng menjatuhkan denda RM5,000 kerana menetap tanpa permit sah

BATU PAHAT, (MPPM News) — Seorang nenek warga negara Indonesia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Yong Peng, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menetap di negara ini tanpa pas atau permit sah.


Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Siti (53), selepas mengambil kira pengakuan dibuat serta hujahan kedua-dua pihak. Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, nenek kepada empat cucu itu didakwa tinggal dan menetap di negara ini tanpa pas atau permit sah. Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Suasa, di sini pada jam 11.30 malam, 21 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama.

Baca juga: Buang Puntung Rokok di Alor Setar, WNI Didenda RM300 dan Jalani Kerja Sosial.


Di bawah peruntukan itu, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara hingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, serta sebatan maksimum enam kali, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan tertuduh bagi tujuan pemeriksaan. Polis kemudian menjalankan pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berpandukan pasport yang ada padanya namun mendapati tiada rekod pergerakan ditemukan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.


MPPM mengingatkan WNI di Malaysia agar sentiasa memastikan dokumen perjalanan dan permit berada dalam keadaan sah serta mematuhi peraturan imigresen setempat, bagi mengelakkan berdepan tindakan undang-undang.


Sumber: Berita Harian (BH Online) — laporan kes Mahkamah Majistret Yong Peng, Yong Peng, Johor.

Baca juga: Ringgit Menguat, Kehidupan PMI di Malaysia Tidak Baik-Baik Saja

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *